Anak hidap kanser, seisi keluarga ikat perut tahan lapar
JOHOR BAHRU— Ketika buffet Ramadan mencecah RM338 satu kepala di hotel-hotel mewah, ada keluarga kurang berkemampuan sedang menahan kelaparan terpaksa ikat perut.
Bagi Suhana Zainal, sambutan Ramadan tahun ini suram kerana keluarganya sekarang ini hidup dalam serba kekurangan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas anak keduanya, Nur Alisha Umairah Mohd Romzan, 5, menghidap leukemia sejak Julai lalu.
“Jangankan hendak membuat sebarang persiapan menjelang Ramadan seperti orang lain, dapat makan sekali sehari pun sudah memadai.
"Ketika terputus bekalan makanan beberapa hari lalu, kami terpaksa meminta bantuan jiran untuk membelikan sedikit beras supaya anak-anak tidak kelaparan.
“Kemeriahan dan keriuhan anak-anak meminta pelbagai juadah hanya tinggal kenangan indah. Sejak Nur Alisha Umairah sakit kami sekeluarga terpaksa mengikat perut malah sudah mula terputus bekalan makanan,” katanya memetik Sinar Harian.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, pendapatan bulanan suami, Mohd Romzan Ramli, 44, yang merupakan pekerja kontrak sebanyak RM1,000 tidak cukup kerana perlu mengutamakan kos rawatan dan keperluan Nur Alisha Umairah yang didiagnos selepas menghidapi leukemia.
Suhana dan keluarganya yang menetap di Taman Sinaran Kempas berkata, sehingga kini keluarganya juga tidak membuat sebarang persiapan menjelang Ramadan.
"Kami tidak fikir lagi soal menyambut Aidilfitri kerana tumpuan utama kami adalah rawatan dan penyembuhan Nur Alisha Umairah.
“Dalam keadaan begini, kami hanya makan apa yang ada dan makanan sedap yang saya selalu masak untuk anak adalah nasi goreng," katanya.
Suhana menambah, suami sedang berusaha mencari pekerjaan tetap dan diharap dapat menarik taraf kehidupan keluarga.
Ketika ini, Nur Alisha menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selain bergantung dengan ubat bagi meneruskan kehidupan.
Keluarganya terpaksa menyediakan wang RM200 termasuk bagi menampung kos pengangkutan ke hospital selain Nur Alisha Umairah juga bergantung dengan susu khas disyorkan doktor.
Terdahulu, Suhana menerima sumbangan bernilai RM1,000 disampaikan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam di kediamannya pada Rabu.
Sumbangan tersebut merupakan barangan keperluan harian bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga Suhana menerusi akaun Maybank Romzan 151623064684.