Abang Zainal bakal menjawat KPD Ipoh, Perak dengan pangkat ACP
KUCHING-- Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad bakal menjawat jawatan baharu sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak dan dinaikkan ke pangkat Asisten Komisioner Polis atau ACP.
Berikutan itu, satu Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Padawan diadakan yang disaksikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Dato Mancha Ata.
Dalam majlis itu Abang Zainal menyerahkan tugasnya kepada DSP Lim Jaw Shyong sebagai Pemangku jawatan tersebut.
Untuk rekod Abang Zainal telah memegang pucuk pimpinan di daerah Padawan selama hampir dua tahun tujuh bulan.
Majlis itu berlangsung di Dewan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini pagi tadi.
Usai penyerahan itu, turut berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Padawan antara Lilly Salawati Sahrani dengan Liu Sun Chai yang disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Datin Jennita William.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus bersama isteri Datin Zanilatun Kamariah Zakaria yang juga Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Ketua Cawangan Khas Sarawak, SAC Tuan Mohd Taufik Toh Abdullah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Puan Wong Ing Fung, Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan, ACP James Jonathan serta barisan Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Polis Daerah terdekat.