Abang Johari akui tiket bilon mahal
KABONG— Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui kenaikan harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke negeri ini terutama pada musim perayaan amat membebankan rakyat.
Justeru katanya, kerajaan akan terus berusaha dengan proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings yang dijangka selesai penghujung tahun ini.
“Apabila menjelang cuti perayaan pasti tambang akan naik. Macam mana nak tahan, harga makin naik. Pergi ke Kuala Lumpur sahaja sudah menelan belanja sehingga RM1,000 lebih.
“Mahu tak mahu, kerajaan menyediakan subsidi kepada anak-anak Sarawak yang belajar di Semenanjung untuk pulang ke kampung halaman semasa perayaan. Ini semua demi kepentingan anak Sarawak,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Premier Sarawak semasa berucap pada Majlis Penangguhan Kabong International Kite Festival 2024. Gambar ihsan UKAS |
Abang Johari berkata demikian berucap dalam Majlis Penangguhan Kabong International Kite Festival 2024, di Dewan Pantai Tanjung Kembang, Kabong pada Ahad.
Beliau berkata, pengambilalihan MASwings ini penting untuk mengurangkan harga tiket seterusnya memudahkan rakyat di Sarawak dan Sabah serta pelajar yang menuntut di Semenanjung untuk pulang ke kampung halaman.
“Insya-Allah perbincangan dijangka siap hujung tahun ini. Sarawak akan mengambil alih MASwings kerana rakyat di Sarawak dan Sabah sering berdepan dengan kenaikan harga tiket yang mahal menjelang musim perayaan,” katanya.
Dalam ucapan yang sama, Abang Johari berkata pembinaan 12 projek mega jambatan bakal menghubungkan ‘missing link’ di sepanjang jalan pesisir Sarawak.
“Projek jambatan berkenaan ia akan memberi manfaat kepada pembangunan di kawasan pesisir khususnya bagi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
“Apabila siap, ia dijangka memendekkan masa perjalanan dari enam jam kepada dua jam setengah dari Kuching ke Sibu dan sebaliknya.
“Sudah tentu perjalanan ke Kabong tidak sampai dua jam. Jika ada pesta besar di Kabong, orang luar pasti akan turut datang berkunjung di sini,” katanya.