30 pembeli rumah Taman Landeh Heights 2 Siburan "digantung tidak bertali"
KUCHING-- Seramai 30 pembeli rumah menjadi mangsa dan terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki rumah yang sepatutnya siap pada 2020-2021.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong berkata, pembeli rumah terpaksa membayar sewa rumah selain membayar faedah bank untuk pembiayaan rumah ‘terbengkalai’ ini.
Jelasnya, masalah yang dihadapi pembeli rumah tersebut disebabkan permit menduduki yang masih belum dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Padawan untuk Taman Landeh Heights 2 Siburan.
"Syarikat Sinar Mekar Development Sdn Bhd telah memaklumkan kepada pembeli rumah bahawa syarikat itu bukan pemaju projek itu dan dengan itu tidak bertanggungjawab terhadap masalah tersebut.
"Saya ingin bertanya kepada Sinar Mekar Development Sdn Bhd dan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), emandangkan Sinar Mekar Development Sdn Bhd bukan pemilik tanah dan merupakan pihak berkontrak untuk membangunkan tanah tersebut, adakah Sinar Mekar merupakan pihak utama yang bertanggungjawab untuk menyiapkan pembangunan untuk Pemilik Tanah jika bukan untuk pembeli rumah?
"Jika Mahsaf Jaya Sdn Bhd tidak lagi boleh melaksanakan, adakah Sinar Mekar Development Sdn Bhd mempunyai kewajipan untuk mencari pihak JV atau pihak subkontrak lain untuk menyiapkan pembangunan tersebut untuk pembeli rumah?," katanya dalam kenyataan hari ini.
Soal Violet lagi, apabila Mahsaf Jaya Sdn Bhd melanggar perjanjian usaha sama dengan Sinar Mekar Development Sdn Bhd adakah semua hak dan remedi untuk menyelesaikan pembangunan kembali kepada Sinar Mekar Development Sdn Bhd?
Tambahnya, dalam Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani dengan pembeli rumah, Sinar Mekar Development Sdn Bhd dikatakan diberi kuasa untuk membangunkan dan berurusan dengan rumah dalam pembangunan tersebut.
"Adakah ini tidak bermakna Sinar Mekar Development Sdn Bhd adalah pihak utama yang mempunyai kewajipan untuk menyiapkan pembangunan tersebut?
"Memandangkan semua kewajipan, hak dan remedi untuk menyelesaikan pembangunan terletak pada Sinar Mekar Development Sdn Bhd, apakah yang telah dilakukan oleh bos Sinar Mekar Development Sdn Bhd yang juga Presiden SHEDA semasa selama ini?
"Apakah yang diperlukan supaya pembeli rumah dapat memiliki rumah mereka dengan segera?
"Saya ingin menjemput SHEDA untuk mengeluarkan kenyataan dan menjawab sama ada SHEDA membenarkan apa yang telah dilakukan oleh Sinar Mekar terhadap projek perumahan ini yang bosnya juga Presiden SHEDA yang dilantik sekarang, Augustine Wong," tegasnya.
Mengulas lanjut Violet mendedahkan, Maya Sinarjaya Sdn Bhd merupakan pemilik tanah bagi projek perumahan Taman Landeh Heights 2 itu dan telah melantik serta memberi kuasa kepada Sinar Mekar Development Sdn Bhd untuk membangunkan tanah tersebut.
Jelasnya, selepas itu, Sinar Mekar Development Sdn Bhd memeterai perjanjian pembangunan bersama dengan Mahsaf Jaya Sdn Bhd di mana Mahsaf Jaya Sdn Bhd telah memohon permit pengiklanan jualan dan menjadi vendor dan merupakan pihak yang menandatangani Perjanjian Jual Beli dengan pembeli rumah masing-masing.
"Sehingga hari ini, MPP masih belum mengeluarkan OP untuk projek itu kerana kegagalan pemaju memenuhi syarat menyebabkan pembeli rumah tidak dapat memiliki harta mereka," ujarnya.