Tun Taib selamat dikebumikan
KUCHING—Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud selamat dikebumikan di tanah perkuburan keluarganya di Demak Jaya, di sini hari ini.
Istiadat pengebumian tersebut dijalankan sekitar jam 2.20 petang sejurus selesai upara solat jenazah di Masjid Demak, Jalan Bako.
Upacara solat jenazah telah dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dan turut disertai disertai Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, isteri Allahyarham, Toh Puan Raghad Kurdi Taib serta lebih 100 hadirin terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat-handai.
Sebelum itu istiadat penghormatan terakhir diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bermula jam 7.50 pagi hingga 11.30 pagi.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan istiadat pengkebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.
Sementara itu, sebanyak 12 laras meriam diaturkan sepanjang jalan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Masjid Demak dan 88 das tembakan meriam dilepaskan oleh seramai lima Pegawai dan 60 anggota LLP – oleh Rejimen Ke-8 Artileri Diraja sebagai tanda penghormatan terakhir bagi mantan TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Bekas Yang di-Pertua Negeri yang juga Ketua Menteri paling lama di Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud,87, menghembuskan nafas terakhir pada 4.28 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), semalam.
Selama 33 tahun mentadbir Sarawak sebagai Ketua Menteri, bermula dari 26 Mac 1981 hingga 28 Februari 2014, beliau membawa dasar ‘Politik Pembangunan’ untuk mengubah wajah Sarawak dari sebuah kawasan terpencil kepada negeri yang progresif dan disegani hari ini.