’Singa’ nyaris cedera dilempar mercun ketika beraksi

 Tangkap layar mercun yang sedang menyala dilemparkan ke arah penari singa

KOTA KINABALU— Sekumpulan penari singa nyaris cedera selepas pemilik kedai bertindak melemparkan mercun ke arah mereka dalam kejadian di Sandakan. 

Kejadian itu dipercayai berlaku pada malam ketiga sambutan Tahun Baharu Cina, 12 Februari lalu.

Difahamkan, kumpulan yang terdiri daripada tiga penari itu diupah oleh pemilik kedai untuk membuat persembahan.

Berdasarkan video yang tular sejak semalam, seorang wanita dilihat melemparkan mercun yang sedang menyala ke arah penari yang sedang beraksi.



Tindakan itu menyebabkan dua penari lari lintang-pukang menyelamatkan diri meninggalkan seorang lagi rakan mereka yang memegang kepala singa.

Individu tersebut kelihatan cemas mengelak percikan api mercun sambil cuba meneruskan persembahan seorang diri.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu.

"Polis telah menerima laporan dan pemilik kedai telah dipanggil serta dirakam keterangan. 

“Bagaimanapun kedua-dua belah pihak bersetuju menyelesaikan perkara itu dengan baik. Pemilik kedai telah memohon maaf kepada kumpulan penari tersebut,” katanya dipetik The Star.

Beliau menambah, tiada individu dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
Next Post Previous Post