Sarawak berkabung dua hari, bendera separuh tiang, hormati pemergian Tun Taib
KUCHING-- Kerajaan Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh negeri bermula hari ini dan esok sempena pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Kerajaan Sarawak dalam pengumuman rasminya menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini juga memaklumkan bendera hendaklah dinaikkan separuh tiang di seluruh Sarawak.
Bendera Ibu Pertiwi dikibar separuh tiang selama dua hari bermula hari ini bagi menghormati pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. |
"Sebarang acara yg melibatkan hiburan hendaklah ditangguhkan.
"Masjid dan rumah Ibadah adalah
digalakkan mengadakan Majlis Doa bagi memperingati pemergian Almarhum Tun Taib.
"Kerajaan Sarawak merakamkan Takziah kepada seluruh keluarga Almarhum Tun Pehin Sri dan mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat," kata Kerajaan Sarawak.
Tun Taib telah kembali ke Rahmatullah pada kira kira jam 4.40 pagi tadi dan jenazahnya dijangka tiba di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching petang ini dari Kuala Lumpur dan akan terus dibawa ke kediamannya di Demak Jaya, Jalan Bako.
Jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Februari untuk memberi peluang kepada rakyat jelata memberi penghormatan terakhir yang dijadualkan bermula pada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan sebelum dikebumikan dengan Istiadat Pengkembumian Negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.
Sementara itu, khabar duka pemergian Tun Taib diumumkan oleh Setiausaha Sulit kepada Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib, Nurr Shaffique Abdul Karim melalui Facebook rasmi Hanifah pagi tadi.
“Kembalinya ayahanda YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib yang dikasihi, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud kepada penciptaNya, lebih kurang 4.40 pagi, 21 Februari 2024 bersamaan 11 Syaaban Hijrah.,” katanya dalam hantaran itu.
Beliau menambah, pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak.
“Semoga rohnya tempatkan di bersama roh orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.