Sarawak bakal terima kereta hidrogen BMW
KUCHING—Kerajaan Sarawak bakal menerima sebuah kereta hidrogen daripada syarikat pengeluar kenderaan terkemuka iaitu BMW.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara ini jelas menunjukkan semakin banyak syarikat mula beralih ke arah sumber tenaga bersih khususnya hidrogen.
“Mereka (BMW) hendak memberikan model kereta BMW 5 Series ini kepada Putrajaya, tetapi mereka tidak mempunyai hidrogen.
“Oleh itu, mereka akan hantarkan kereta itu ke Kuching dan memberikan kita di Kuching yang menggunakannya.
“Ini menunjukkan semakin banyak syarikat yang mula beralih ke tenaga hidrogen, kerana hidrogen adalah tenaga yang paling bersih,” ujarnya, memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Jabatan Tanah dan Survei (LANDAS) Summit 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Sabtu.
Selanjutnya Abang Johari berkata, Sarawak perlu memanfaatkan kekuatan dalam pengeluaran tenaga untuk memajukan ekonomi negeri ini.
Ujarnya, dengan adanya kekuatan ini, ia dapat membezakan Sarawak daripada negeri lain untuk memajukan ekonomi sendiri mahupun Malaysia.
“Pada pandangan saya, kita mesti tahu kekuatan kita, agar kita boleh bergerak ke hadapan dan mempunyai kekuatan itu sendiri. Sebaik sahaja kita menganalisis kekuatan kita, maka kita fokus pada kekuatan itu.
“Jadi untuk Malaysia berkembang, Sarawak akan terus memberikan fokus kepada tenaga. Negeri lain mungkin mempunyai kekuatannya yang tersendiri, dan kekuatan kita adalah tenaga, jadi kita fokuskan kepada perkara ini,” katanya.
Menurut Nikkei Asia yang dipetik Careta, ketua unit jualan BMW Pieter Nota menjelaskan BMW melihat trend kuasa hidrogen sebagai satu perkara yang relevan untuk model-model SUV yang lebih besar.
BMW sebelum ini telah pun memperlihatkan sebuah model konsep iX5 Hydrogen, di mana model SUV itu dijangka akan mula dihasilkan sebagai penawaran unit terhad.
Atas kertas, BMW iX5 Hydrogen berupaya menghasilkan kuasa setinggi 369 hp, di mana unit sel bahan api itu sahaja mampu menjana kuasa 168 hp dengan tangki bahan api hidrogen sebesar enam kilogram sebanyak dua unit dan masa pengisian yang hanya mengambil masa sekitar 3-4 minit sahaja.
Gambar kredit BMWGroup