RM599 sehala ke Sabah, Sarawak sempena Aidil Fitri
KUCHING— Kecoh di media sosial hari ini apabila kerajaan menetapkan harga maksimum penerbangan sehala bagi kelas ekonomi sebanyak RM599 dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiga hari sebelum sambutan Aidilfitri ini.
Tinjauan Borneo Network mendapati ramai yang mengeluh dan menyifatkan harga tiket tersebut masih mahal dan tidak mampu dibeli golongan B40.
“Pergi jak dah RM600.., pulang gik? Berapa?
“RM599 sehala. Selalunya tiket pergi balik, untuk outbound RM599 tapi inboundnya nanti RM799, RM899 dan RM999. Tambang pergi balik
sudah macam harga ke Korea atau Jepun.
“Sehala RM599, pergi balik RM1,200 juga. Tak murah pun.
“Bagi kami orang Sabah, RM599 macam pergi bercuti luar negara.
“Kalau B40, RM599 tuk tak mampu balik raya tahun ni. Lagi-lagi anak ramai,” keluh mereka.
Terdapat netizen yang prihatin mencadangkan agar kerajaan menyediakan pakej yang istimewa terutama bagi perantau yang berkeluarga besar.
“Buatlah tiket family...special price....kesian yang anak ramai yang kerja Semenanjung nak balik Sabah Sarawak....Madani kann....Rahmah la dengan harga untuk bantu rakyat,” katanya.
Tidak kurang juga menyindir kerajaan dengan mencadangkan penduduk Sabah dan Sarawak menggunakan jalan darat untuk lebih jimat.
“Makei darat, feri ke Dumai, Jakarta ke Pontianak lepas ya ke Sarawak masuk Brunei baruk sampai Sabah,” kata seorang netizen.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, harga maksimum itu dapat membantu lebih ramai perantau pulang ke kampung masing-masing.
“Apabila kekurangan tiket, harga melambung naik, kita maksimumkan RM599, jadi sebarang kenaikan melebihi harga tersebut akan ditampung melalui subsidi kerajaan untuk tiga hari tersebut.
“Berbanding Semenanjung kerajaan tidak menetapkan harga maksium kerana mereka ada pilihan pengangkutan lain seperti bas, kereta api dan sebagainya.
“Sebaliknya bagi Sabah dan Sarawak tidak ada pilihan maka kerajaan menetapkan harga maksimum. Walaupun ia tidak menyelesaikan keseluruhan masalah, namun ia membantu mereka pulang,” katanya menurut laporan Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, kementerian akan meminta pandangan daripada semua pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memastikan tarikh sebenar Aidilfitri sebelum penetapan harga tiket itu dilaksanakan.
"Selain harga maksimum yang sudah ditetapkan itu, ada syarikat penerbangan seperti Air Asia yang mengambil inisiatif menetapkan harga tetap tambang lebih murah namun penerbangan hanya pada waktu malam sahaja,” katanya sambil menambah ia akan dilancarkan pada awal Mac ini.