Peserta ASIHM21 langgar peraturan punca trofi lambat diberi
KUALA LUMPUR-- Isu kelewatan pengumuman pemenang yang timbul sempena penganjuran larian Anak Sarawak International Half Marathon (ASIHM21) 2024 disebabkan terdapat peserta melanggar peraturan ditetapkan.
Pengarah Acara Larian ASIHM21 Mohd Eddy berkata, terdapat beberapa isu seperti penyalahgunaan bib antara peserta-peserta terlibat dalam larian itu.
"Kami telah mengenal pasti beberapa peserta yang melanggar peraturan ini dan kami terpaksa menggugurkan mereka yang telah didapati menyalahgunakan bib.
"Kami amat memandang serius atas menyalahgunaan bib sama ada sengaja atau tidak sengaja. Ini adalah satu kesalahan yang serius dan pihak penganjur sama sekali tidak berkompromi dengan penyalahgunaan bib.
"Maka dengan ini, senarai pemenang baharu telah diumumkan di laman web checkpointspot dan anda boleh menyemak senarai terbaru menerusi laman web ini," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau memberitahu pihaknya membuka ruang dan peluang kepada semua peserta untuk membuat sebarang rayuan atau protes dalam tempoh dua hari dari tarikh surat ini dikeluarkan.
"Sebarang protes boleh dihantar melalui email
asihm21official@gmail.com.
"Selepas dari tempoh yang diberikan selama dua hari, sebarang protes adalah tidak dilayan sama sekali," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui isu kekurangan air minuman di 'stesen air' dalam larian tersebut.
"Kami juga ingin memohon maaf berkenaan dengan kekurangan air minuman dan kami mengambil iktibar ini untuk memperbaiki perkara ini di masa akan datang.
"Sekali lagi tahniah diucapkan kepada semua peserta ASIHM21 dan tahniah kepada pemenang bagi setiap kategori," jelasnya.
Bagi meraikan para pemenang larian itu, katanya, pihak penganjur akan mengadakan majlis hi-tea pada 17 Februari ini di Al Amber Chinese Muslim Restaurant, Lembaga Getah Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, jam 4 petang.
"Bagi para pemenang, kami akan menghubungi anda untuk jemputan ke majlis hi-tea nanti.
"Majlis ini turut menyampaikan trofi dan hadiah kemenangan kepada peserta yang telah memenangi kategori masing-masing," ujarnya.
Terdahulu, salah seorang peserta Siti Halijah dalam hantarannya di kumpulan Facebook, Malaysia Runners melahirkan rasa kesal terhadap penganjur larian tersebut.
Jelasnya, para pemenang dalam larian itu tidak diberikan trofi kemenangan.
Malahan, katanya, para peserta tidak tahu diri sendiri adalah pemenang kerana apabila tiba di garisan penamat, tiada krew yang memberikan pas kemenangan.
Hantaran itu juga mendapat banyak respon daripada peserta-peserta lain yang ikut sama dalam larian tersebut yang turut meluahkan rasa kecewa.
Malah, ada yang mengatakan penggunaan nama Sarawak dalam acara itu mendatangkan imej yang negatif terhadap Sarawak diatas kelemahan penganjuran acara tersebut.
Untuk rekod acara larian ASIHM21 2024 telah berlangsung pada 3 Februari 2024 baru-baru ini di bangunan Lembaga Getah Malaysia, Kuala Lumpur.