Peras ugut pekerja kilang, Sarjan dan 4 anggota polis ditahan
BUKIT MERTAJAM -- Lima anggota polis ditahan kerana dipercayai melakukan pemerasan wang berjumlah RM10,000 terhadap pekerja kilang kerana didakwa memiliki dadah di Jalan Permatang Tinggi, di sini, kelmarin.
Penahanan kesemua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis dan Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah termasuk seorang berpangkat Sarjan berusia 24 hingga 48 tahun itu dibuat semalam, susulan laporan polis dibuat oleh mangsa.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa pulang ke rumahnya di Simpang Ampat, dekat sini, dengan memandu kereta kira-kira 10.15 malam.
Menurutnya, dua kereta MPV bertindak menahan kereta mangsa sebelum tiga anggota keluar menjalankan pemeriksaan dan mendakwa menemui satu beg plastik mengandungi serbuk dipercayai dadah.
“Mangsa menafikan dadah itu miliknya dan anggota polis mengatakan dadah terbabit adalah milik mangsa dan boleh dikenakan hukuman berat.
“Kemudian datang sebuah lagi kereta MPV dinaiki dua anggota sebelum mengarahkan mangsa diminta membayar RM10,000 bagi mengelak dirinya diberkas,” katanya, memetik Bulletin TV3.
Kok Chin berkata, selepas berbincang, mangsa dilaporkan membuat bayaran berjumlah RM4,500 kepada salah seorang anggota di lokasi lain tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis. Bertindak atas aduan berkenaan, kita membuat tangkapan terhadap lima anggota terbabit bagi membantu siasatan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggota yang terlibat dalam jenayah mahupun rasuah seperti saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Dalam hal ini, siasatan terhadap warga PDRM yang terlibat dalam salah laku jenayah akan disiasat secara telus selain mereka berdepan tindakan tegas,” katanya.
Katanya, kelima-lima anggota polis itu direman selama empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Polis meminta kerjasama orang awam supaya tidak membuat spekulasi dan memberi bagi pihak polis menjalankan siasatan,” katanya