Penggabungan PDP, PSB ikut undang-undang
SIBU— Penggabungan Parti Demokratik (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak akan menyebabkan pilihan raya kecil (PRK) di Sarawak.
Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, ini kerana proses penggabungan kedua-dua parti itu mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Mana ada ‘trigger’ PRK. PDP dan PSB dalam proses apa sepatutnya mahu buat, kita mesti ikut undang-undang dan proses yang sepatutnya.
“Kita harap proses penggabungan kedua-dua parti ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas kunjungannya ke kediaman Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, sempena sambutan Tahun Baharu Cina, hari ini.
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Ahli Parlimen Bintulu dalam pada itu enggan mendedahkan lanjut mengenai penggabungan itu sebaliknya menunggu ia selesai sepenuhnya.
“Kita jangan timbulkan suasana huru-hara dulu, selesai baru boleh beritahu. Macam sudah kahwin, baru kita boleh beritahu orang,” katanya.
Pada 13 Julai lepas, PDP yang diwakili Tiong dan Soon Koh yang mewakili PSB telah menandatangani satu memorandum persefahaman bagi menjalin kerjasama untuk melihat kemakmuran dan kestabilan politik dalam negara.
Soon Koh ketika mengumumkan perkara itu berkata, kerjasama dengan PDP bagi memastikan parti itu dapat berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Untuk rekod, PDP merupakan salah satu parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 pada 2021, PSB yang merupakan parti pembangkang dan memenangi tiga kerusi.