Obor-obor beracun kembali di Telok Melano
SEMATAN— Obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese Man o'War atau nama saintifiknya 'physalia physalis' kembali menyerang Pantai Telok Melano di sini selepas ditemui terdampar di kawasan tersebut semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, Mohtar Samat berkata, obor-obor itu dijumpai oleh petugas penyelamat ketika melakukan rondaan berkala di sekitar pantai tersebut.
“Susulan penemuan itu, petugas penyelamat pantai telah menanam obor obor berkenaan ke dalam pasir bagi mengelak ancaman kepada pengunjung,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook APM Sarawak semalam.
APM turut menasihatkan pengunjung agar lebih berhati-hati untuk mencegah sengata obor-obor beracun tersebut yang boleh mengancam nyawa.
“Orang ramai harus memaklumkan sebarang penemuan obor-obor beracun ini kepada petugas pantai supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Petugas penyelamat Pantai Telok Melano, Bujang Mohd Zaini berkata, hasil rondaan setakat ini berjaya menemukan puluhan ekor obor-obor tersebut terdampar di pantai.
“Kami bertindak melupuskan dengan cara menanam ke dalam pasir bagi mengelak ancaman kepada pengunjung.
“Walaupun obor-obor yang ditemui ada yang sudah mati, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh bangkainya kerana ia masih beracun dan sangat berbahaya,” katanya kepada Borneo Network.
Menurut Bujang, mereka menggunakan menyapu cuka di tempat yang disengat obor-obor sebagai rawatan awal sebelum mendapatkan rawatan di klinik.
“Jika terkena sengat, bersihkan menggunakan air sejuk kemudian sapu cuka makan sebagai rawatan awal,” katanya.
Saiznya yang kecil dan berwarna biru lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat dan boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kehadiran haiwan terbabit di kawasan berkenaan.