Motosikal terbakar sejurus bertembung kereta dalam kemalangan, nasib penunggang belum diketahui
BAU -- Sebuah motosikal model Yamaha LC135 terbakar sepenuhnya selepas bertembung dengan sebuah kereta berhampiran Pejabat JKR Lundu di Kilometer 2 Jalan Bau-Lundu pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari BBP Bau bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 10.48 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan motosikal terbabit di atas jalan," ujarnya.
Laporan awal yang diterima mengesahkan kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan sudah dibawa oleh orang awam ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula yang mana sumber air diperoleh daripada tangki jentera.
Setelah api berjaya dikawal dalam masa setengah jam, pasukan bomba bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan jalan setelah keadaan didapati selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 11.20 pagi sebelum bertolak balik ke balai.
PGO Sarawak