Lima suspek kes gaduh Batu Kawa diberkas
PADAWAN— Lima suspek lelaki yang diburu polis disyaki terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah premis di Jalan Batu Kawa/Matang dekat sini baru-baru berjaya diberkas.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua individu berusia antara 17 hingga 42 tahun itu diberkas dalam Op Cantas di beberapa lokasi berasingan semalam.
“Dalam tangkapan pertama sekitar 9.10 malam, polis menahan seorang lelaki di Jalan Batu Kawa Skim Penempatan Desa Wira.
“Pada tarikh yang sama jam lebih kurang 11.30 malam, satu siri tangkapan lagi telah berjaya dilakukan ke atas dua orang suspek utama warga tempatan di Jalan Satok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada hari yang sama, polis turut memberkas dua lagi suspek di sekitar bandar Kuching.
Abang Zainal menambah, kesemua suspek direman di Mahkamah Kuching selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.
Sementara itu semakan mendapati dua daripada suspek masing-masing mempunyai 15 dan 30 rekod jenayah antaranya berkaitan dadah.
Terdahulu Borneo Network melaporkan video tular seakan pergaduhan berkumpulan di hadapan sebuah premis Jalan Batu Kawa/Matang, rupa-rupanya pergaduhan antara adik-beradik yang ditemani rakan masing-masing.
Abang Zainal berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.06 malam semalam.
"Pengadu berumur pertengahan 30-an, menyatakan bahawa insiden dalam video tersebut pergaduhan di antara adik-beradik yang disertai oleh rakan masing-masing di hadapan sebuah premis Jalan Batu Kawa/Matang.
"Pengadu hanya mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh semasa melarikan diri dan telah di rawat sebagai pesakit luar di perubatan swasta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh yang mana jika sabit kesalahan membawa kepada hukuman pemenjaraan selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jelas beliau, beberapa suspek telah dikenal pasti dan satu operasi iaitu Op Cantas telah dilakukan untuk menangkap kesemua suspek yang terlibat.
Terdahulu, polis mengesan satu hantaran video yang telah dimuat naik oleh seorang pengguna akaun Facebook yang memaparkan dua rakaman video.
Dalam video pertama menujukkan sebuah kenderaan dipandu laju manakala video kedua seakan-akan insiden pergaduhan beberapa orang individu yang dilihat dari jarak jauh.