Kes tular TYT Sarawak dibawa keluar hospital, polis sahkan ada terima laporan

KUCHING-- Polis Sarawak mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes tular melibatkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang didakwa dibawa keluar dari sebuah pusat perubatan di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datu Mancha Ata berkata, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, seksyen itu adalah kesalahan perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri dan orang lain.

"Pihak Polis Kontinjen Sarawak telah terkesan satu posting tular melibatkan bekas TYT Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, yang telah dimuatnaik dalam media sosial.

"PDRM Sarawak mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung isu tular iaitu kes membawa keluar bekas TYT Tun Pehin Sri dari sebuah hospital. 

"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan perkara ini dan tidak membuat sebarang spekulasi. 

"Tindakan menyebarkan maklumat palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan rangkaian dan lain-lain," tegasnya lagi.
Next Post Previous Post