Enam pelancong terperangkap di balkoni akibat kebakaran diselamatkan
Enam pelancong berdiri di balkoni luar bangunan tingkat tiga selepas bilik penginapan di Kampung Air, Kota Kinabalu terbakar. Gambar ihsan Bomba Sabah |
KOTA KINABALU— Enam pelancong ‘mengadai nyawa’ berdiri di balkoni luar bangunan tingkat tiga selepas bilik penginapan ‘backpacker’ terbakar di Jalan Haji Yaakub, Kampung Air di sini pagi tadi.
Namun, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan mangsa dari Switzerland, Slovakia, Rusia, Amerika Syarikat, Jepun, Perancis yang terperangkap di balkoni tersebut hampir sejam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan anggota bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Lintas dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 8.49 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah bilik jenis kekal di tingkat tiga yang musnah sepenuhnya.
“Manakala lima buah bilik lagi terjejas akibat terkena bahangan.
“Terdapat enam orang mangsa termasuk seorang lelaki di balkoni luar bangunan tingkat tiga. Kesemua mangsa berusia 22 hingga 28 tahun berjaya diturunkan dalam keadaan selamat tanpa kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi terkawal pada 9.10 pagi dan operasi ditamatkan sejam.