Berhabis duit ubah suai Kelisa jadi Daihastu Gino
KUCHING— Padah mengubah suai identiti kereta menjadi Daihatsu Gino, pemilik Perodua Kelisa menerima notis dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.
JPJ Sarawak berkata, Perodua Kelisa itu ditahan oleh Unit Operasi JPJ Kuching semasa Operasi Khas Perayaan di sekitar Kuching dan Samarahan yang memberikan fokus kepada pelbagai jenis kesalahan terhadap pengguna jalan raya.
“Antara kesalahan adalah sebuah kereta jenis Perodua Kelisa melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan tersebut kepada Daihatsu Gino.
“Turut dikesan Lesen Kenderaan Motor (LKM ) juga telah tamat tempoh pada tahun 2020.
“JPJ telah mengeluarkan notis JPJ (P) 22 dan Notis Penahanan Kenderaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, penguatkuasaan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, memastikan pematuhan undang-undang lalu lintas, dan mengurangkan kemalangan jalan raya semasa musim perayaan ini.
“Ini melibatkan peningkatan penguatkuasaan trafik, pemeriksaan kenderaan, dan kempen kesedaran awam bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan keselamatan serta memandu dengan berhemah.
Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan butiran aduan.
Gambar kredit JPJ Sarawak