Bekal terakhir, isteri pergi selamanya

KUCHING-- "Biasa kamu buat satu bekal saja tetapi hari ini dua bekal. Tidak tahu ini bekal terakhir kamu buat," luah seorang suami selepas mendapati insan tersayangnya pergi selamanya dalam nahas kemalangan di Kilometer 4 Jalan Repok awal pagi tadi.

Luahan itu dikongsikan Spenie Walsen Sana dalam Facebooknya selepas menerima perkhabaran duka tentang isterinya, Lucy Nangkai yang meninggal dunia dalam kemalangan itu.

"Pagi ini kamu tanya aku kerja syif apa, aku cakap pagi balik jam 6 petang. Biasanya kamu buatkan aku satu bekal saja tapi hari ini kamu buat aku dua bekal...Tidak sangka itu bekal terakhir yang kamu buatkan untuk aku," kongsinya.

Hantaran itu, menyentuh rata-rata warga maya dan dikongsi lebih 350 kali.

Tambahnya, berita kematian isterinya itu sangat meremukkan hatinya.

Katanya banyak perancangan untuk keluarganya itu sudah dibuat untuk tahun ini

"Aku sudah bersedia untuk bawa bercuti tetapi apakan daya aku hanya manusia biasa... Tuhan lebih menyayangimu.Berehatlah sayang.



"Rehatlah dengan tenang. Tentang anak jangan risau aku ada, keluarga kita ada. Terima kasih sudah hadir dalam hidup aku sayang, walaupun sekejap akan aku simpan buat selama-lamanya...Kamu sentiasa dal hati aku," luahnya.

Terdahulu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Kenari di Kilometer 4 Jalan Repok awal pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Lucy Nangkai berusia 30 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam parit sebelum disahkan meninggal dunia oleh KKM yang menjalankan pemeriksaan ke atas beliau.

"Sepasukan anggota BBP Sarikei bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 8.33 pagi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa," ujarnya.

Tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Perodua Kenari dalam keadaan terbalik dan sebuah motosikal.

Pemandu kereta bagaimanapun katanya yang merupakan seorang lelaki telah keluar dengan sendiri sebelum pihak bomba tiba.

Penunggang motosikal yang ditemui dalam keadaan terbaring dalam parit dalam keadaan tidak sedarkan diri telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pasukan bomba melakukan ‘size up’ di sekitar kawasan kemalangan seterusnya mengangkat mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Next Post Previous Post