ART akan dibina di Bintulu selepas Kuching-Abang Johari


BINTULU-- Sistem pengangkutan awam di sini akan ditransformasikan dengan kemudahan Transit Aliran Autonomi (ART) selepas Kuching, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, perancangan untuk memperkasakan sistem pengangkutan awam di Bintulu itu penting memandangkan pertambahan populasi penduduk yang tinggi di kawasan berkenaan.

Namun, katanya, ia memerlukan pelaburan yang besar untuk melaksanakan perancangan tersebut.

"Bintulu hendaklah dihubungkan dengan kawasan perindustrian seperti di Samalaju dan Kidurong dengan aliran trafik yang lancar.

"Dengan populasi Bintulu yang bertambah selepas Kucihng, penting untuk kita menubuhkan sistem pengangkutan awam yang baik menerusi ART di Bintulu selepas (dilaksanakan) Kuching. Ini sudah tentu memerlukan pelaburan yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2024 bersama Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Ahli Parlimen Bintulu di Dewan Suarah di sini, hari ini. 

Tambah Abang Johari, pengangkutan awam itu juga akan dilanjutkan ke arah menyeberangi sungai sebaik sahaja Jambatan Kemena siap.

"Ini adalah satu perkara dalam rancangan kita dalam membesar dan memajukan Bintulu," jelasnya.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan Sarawak juga merancang untuk membina pemecah ombak di Kuala Kemena dan ia dalam kajian sekarang ini.

Jelas beliau, perancangan itu selari dengan usaha kerajaan mengambil alih semula Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan persekutuan.

"Ia sudah masuk dalam perancangan dan kita sedang mencari dana untuknya, kalau dapat dana kita bangunkan Kuala Kemena dan seterusnya membuat satu pemecah ombak yang bersambung ke Pelabuhan Bintulu," katanya.

Menurutnya lagi, Sarawak juga satu-satunya di Malaysia mengeluarkan metanol termasuk metanol hijau yang penting bagi industri perkapalan.

"Jadi kita ada metanol kita di tengah-tengah di kawasan ASEAN ini termasuk metanol hijau yang kita dapat wujudkan untuk industri perkapalan.

"Jadi inilah nikmat yang kita ada hasil daripada perpaduan yang ada dalam rakyat kita," ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, Dan Seni Persembahan, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai Dan Laut) Dato Henry @ Harry Jinep, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (Kerajaan Tempatan) Datuk Dr. Penguang Manggil, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau dan ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming 
Next Post Previous Post