Agenda EV tetap jadi tumpuan kerajaan pada 2024: Fadillah
KUALA LUMPUR-- Agenda Kenderaan Elektrik (EV) Kebangsaan tetap menjadi tumpuan kerajaan dalam tahun 2024 ini, kata, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ini selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020.
"Hasrat kerajaan adalah untuk mempersiapkan industri tempatan untuk bergerak ke arah teknologi pembuatan EV dan menggalakkan aktiviti nilai tambah berlaku di dalam negara.
"Sepertimana semua sedia maklum, saya telah dipertanggungjawab untuk mentransformasikan bidang tenaga dan air negara, di mana agenda EV adalah merupakan salah satu fokus di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Terdahulu Fadillah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan di Menara MITI selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kajian Strategi dan Pelaksanaan Pelaburan Hijau, hari ini.
"Saya amat berpuas hati dengan pencapaian industri EV Negara seperti dibentangkan YB Menteri MITI.
"Bagi membolehkan momentum ini diteruskan, kerjasama daripada kesemua agensi kerajaan dan kementerian yang terlibat adalah amat penting," tambahnya.
Jelasnya lagi, apabila lebih banyak pelaburan dan aktiviti pengeluaran EV berlaku di dalam negara, rakyat tempatan akan lebih berpeluang untuk meningkatkan kemahiran dan memperoleh pendapatan yang lebih baik.
Hadir sama pada Mesyuarat NEVSC Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Turut hadir, Timbalan Menteri MITI, YB Liew Chin Tong; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato' Mohammad Yusof Apdal; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Timbalan Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.