16 kanak-kanak antara 41 terselamat daripada fenomena kepala air di Sungai Yong
KAPIT -- 16 kanak-kanak antara 41 individu yang terselamat dari fenomena kepala air yang melanda kawasan Sungai Yong di Jalan Bukit Goram malam tadi.
Borneo Network difahamkan bahawa semasa kejadian, seramai 41 individu dari 9 keluarga sedang berkhemah dan bermalam kawasan seberang sungai terbabit sejak Sabtu lalu.
Ketua Balai Bomba Kapit, Timothy Barat mengesahkan, sepasukan anggota bomba dari pasukan Bravo BBP Kapit bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 8.32 malam.
Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat 9 buah keluarga yang berasal dari Bintulu sedang berkhemah dan bermalam di tebing seberang sungai tersebut.
Siasatan awal yang dijalankan mendapati hujan lebat di kawasan hulu telah mengakibatkan air sungai naik secara tiba-tiba yang mengakibatkan "kepala air" yang deras.
"Setelah size up dijalankan PKO lengkap berpakaian PPE mula operasi untuk memindahkan mangsa dengan memasang safety line menyeberangi sungai kerana air agak deras pada kedalaman paras dada iaitu berketinggian.1.5 meter," jelasnya.
Anggota penyelamat kemudiannya menggunakan personal line yang dipasang pada safety line untuk membantu mangsa menyeberangi sungai seorang demi seorang.
Selesai operasi menyelamat dan memastikan kesemua mangsa tiada mengalami sebarang kecederaan, pasukan bomba bertolak semula balik ke balai.
Gambar BBP Kapit