TPM Fadillah lawat fasiliti bekalan air dan tenaga Sabah
KOTA KINABALU— Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga
Dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof meneruskan lawatan kerja hari kedua di Sabah dengan meninjau fasiliti infra bekalan air dan tenaga.
Lawatan kerja hari ini melibatkan Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli daripada 80 Juta Liter Harian (JLH) ke 160 JLH termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan.
Beliau turut meninjau Projek Pembahagian- Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gudon/ Telipok, Kota Kinabalu dan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, Sabah Pakej 3.
Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II Tamparuli daripada 80 JLH ke 160 JLH termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan dilaksanakan berikutan pertambahan populasi yang tinggi dan
pembangunan pesat di keseluruhan kawasan Utara dan Tengah Negeri Sabah.
Ini menyebabkan permintaan air bagi kegunaan domestik, komersil dan juga industri meningkat dari semasa ke semasa.
Dengan pelaksanaan projek ini akan dapat meningkatkan tahap keupayaan bekalan air daripada 80 JLH ke 160 JLH dan kapasiti simpanan air daripada 94.6 juta liter (JL) kepada 163.3 JL.
Seterusnya Peningkatan tahap operasi dan perkhidmatan bekalan air melibatkan anggaran penduduk seramai 441,000 orang dan peningkatan liputan bekalan ke kawasan Utara Pantai Barat Selatan (Tuaran, Telipok, Menggatal, Inanam dan Likas).
Projek ini sudah siap 94.57% dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2024.
Projek Pembahagian - PPU Gudon / Telipok, Kota Kinabalu pula dibina untuk meningkatkan pembekalan tenaga elektrik ke kawasan Gudon, Sepanggar dan sekitarnya disebabkan peningkatan kapasiti beban.
Selain itu PPU Gudon juga dapat memastikan pengguna di kawasan Gudon mendapat bekalan elektrik yang berdaya harap. Projek ini sudah siap 49% dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2024.
Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, Sabah Pakej 3 pula bertujuan mengurangkan keluasan kawasan yang dilanda banjir di dalam lembangan Sg. Moyog terutama di kawasan Kepayan, Pekan Kibabaig, Pekan Donggongan dan Pekan Putatan.
Pelaksanaan projek ini akan dapat mengurangkan magnitud dan kekerapan banjir sekaligus meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup penduduk di kawasan Pekan Kibabaig, Pekan Donggongan dan Pekan Putatan.
Projek ini sudah siap 82.64% dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2024.