Tingkat kepakaran tarik pelabur, Abang Jo
Premier Sarawak Abang Johari menyampaikan ucapan pada Malam Gala Amal Malaysia-Korea Selatan di Damai Lagoon, Santubong malam tadi. Gambar kredit UKAS |
KUCHING— Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa anak-anak muda menguasai kepakaran teknologi untuk membantu pelabur membangunkan ekonomi di Sarawak.
Premier Sarawak itu berkata, Sarawak menawarkan banyak peluang untuk kerjasama rantaian bekalan selain sumber yang luas untuk diterokai.
“Sebagai negara tuan rumah, kita mesti meningkatkan kemahiran kita, memudahkan usaha kerjasama dengan tetamu luar negara yang melabur di Sarawak, dan mungkin juga mendalami pembelajaran dan menghargai budaya mereka,” katanya berucap pada Malam Gala Amal Malaysia-Korea Selatan di Damai Lagoon, Santubong malam tadi, lapor UKAS.
Majlis tersebut dianjurkan bersama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dengan kerjasama OCIM Sdn Bhd, sebuah syarikat dari Korea Selatan yang berpangkalan di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu.
Abang Johari memberikan contoh, langkah OCIM Sdn Bhd untuk melabur dengan menerokai tenaga hijau di negeri ini wajar dimanfaatkan anak-anak muda.
“Kita mengalu-alukan OCIM dan pelabur lain di Sarawak, namun penting bagi rakyat kita sendiri melakukan usaha yang gigih bagi memastikan ia memanfaatkan rakyat.
“Saya difahamkan OCIM sedang berkembang dan banyak rantaian bekalan yang tersedia di Sarawak. Justeru penting pemindahan teknologi dan keperluan untuk memastikan kepakaran tempatan diperkukuh melalui pengetahuan yang dikongsi,” katanya.
Sementara itu Abang Johari berkata, majlis amal itu tidak hanya sebagai acara sosial, malah menjadi platform untuk mengumpul dana amal.
Katanya, hasil kutipan dana bagi acara itu akan disalurkan kepada Yayasan Ilmu Sarawak, Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) dan Generasi Hijau yang baru dibentuk, sebagai komitmen bersama dalam menyokong bidang pendidikan dan kebajikan di negeri ini.
“Tahniah atas penganjuran majlis pada malam ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan semua tetamu dari luar negara ke Sarawak, dan saya berharap anda mempunyai masa mengukir kenangan yang indah di Kuching, khususnya di Damai Lagoon ini.
“Malam ini merupakan percantuman budaya antara budaya Korea dan budaya Sarawak. Sekurang-kurangnya kita dapat melihat makanan yang disediakan mengikut cita rasa hidangan korea, tetapi menggunakan bahan-bahan dari Sarawak, yang membuktikan Korea Selatan dan Sarawak benar-benar boleh digabung bersama,”katanya.
Beliau turut menyaksikan simbolik penyerahan dana kepada penerima-penerima.
Dana berjumlah RM300,000 masing-masing telah diserahkan kepada Yayasan Ilmu Sarawak dan Generasi Hijau manakala sejumlah RM200,000 diserah kepada PERKATA.
Acara gemilang yang dihadiri kira-kira 500 tetamu dan para dermawan itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis jemputan seperti Jaclyn Victor, Kim Da Hyun, Alu-Alu Band dari Kampung Budaya Sarawak, OCI Dream Ensembles termasuk Kumpulan Nanta.