Seorang berdarah digigit, seorang berbirat muka ditampar
JOHOR— Hari pertama seorang wanita menghantar dua anaknya ke rumah pengasuh bertukar tragedi selepas seorang berdarah digigit manakala seorang pula berbirat muka dilempang.
Menurut wanita itu, bayinya yang berusia enam bulan digigit anak pengasuh dengan lebih lapan kesan gigitan sehingga terkoyak kulit.
“Hari pertama di rumah pengasuh berakhir dengan tragedi yang perit bagi aku dan anak-anak.
“Baby Luth yg baru enam bulan digigit oleh anak pengasuh lebih lapan gigitan sehingga terkoyak kulit berdarah di baju,” kata wanita itu melalui hantaran di Facebook hari ini.
Lebih menyedihkan, seorang lagi anak lelakinya didakwa dilempang sehingga mengalami trauma.
“Abang Nuh pula kesan lempang berbirat jari orang dewasa di muka. Sampai sekarang abang Nuh masih trauma sampai demam-demam.
“Dia sendiri saksi nampak adik dia kena gigit. Doakan Luth dan Nuh cepat sembuh luka, demam dan trauma,” katanya.
Sementara itu di ruangan komen, wanita itu memberitahu pengasuh memohon maaf dan memberikan wang untuk merawat anak-anaknya.
“Dia mintak maaf dan bagi RM50 untuk rawatan serta ubat sapu.
“Rawatan dan laporan polis sudah dibuat. Doakan semuanya dipermudahkan dan anak-anak cepat sembuh,” katanya lagi.