Rakyat mati kebuluran jika negara dipimpin penjenayah dalam tempoh 5 tahun: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR— Ekonomi akan rosak teruk hingga rakyat mati kebuluran jika negara dipimpin seorang penjenayah yang secara terbuka mencuri duit kerajaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Soalnya lagi, apa akan terjadi jika rasuah menjadi-jadi sehingga segala urusan dengan kerajaan mengambil masa yang panjang dan bergantung kepada sogokan yang diberi.

"Jika kerajaan yang seburuk ini berkuasa lima tahun, kerosakan yang akan berlaku tidak boleh dipulih dan negara akan hancur," katanya dalam ciapan di Twitternya semalam.

Beliau membuat ciapan itu bagi mengulas tentang cadangan mewujudkan Rang Undang-Udang Parlimen Berpenggal Tetap.

Jelas Dr Mahathir, meskipun tidak menolak kestabilan kerajaan itu baik untuk negera tetapi beliau menempelak cadangan RUU tersebut.


"Terdapat pendapat oleh pemimpin negara bahawa apabila sebuah kerajaan ditubuh, ia sepatutnya dibenar memerintah sehingga tamat edahnya. Dengan cara itu Kerajaan menjadi stabil. Memanglah kestabilan baik untuk Negara.

"Tetapi apa akan jadi kepada negara apabila kerajaan dipimpin oleh seorang penjenayah yang secara terbuka mencuri duit kerajaan dan menyalahguna kuasa Kerajaan dengan memasuk dalam tahanan anggota parti lawan. 

"Apa akan jadi jika harta milik rakyat dirampas? Apa akan jadi apabila ekonomi rosak teruk sehingga rakyat mati kebuluran? 

"Apa akan jadi jika polis dan tentera merompak? Apa akan jadi jika rasuah menjadi jadi sehingga segala urusan dengan kerajaan mengambil masa yang panjang dan bergantung kepada sogokan yang diberi.

"Jika Kerajaan yang seburuk ini berkuasa lima tahun, kerosakan yang akan berlaku tidak boleh dipulih dan negara akan hancur," tegasnya.

Tambahnya, mungkin dalam pilihan raya umum (PRU) kerajaan jenis itu boleh dijatuhkan. 

"Tetapi dengan kuasa dan alat yang ada pada kerajaan, PRU boleh ditipu dan kerajaan buruk ini mendapat kemenangan. 

"Maka akan berterusanlah salah guna kuasa oleh kerajaan," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebaliknya jika demokrasi berjalan dengan baik, parti kerajaan sendiri boleh menjatuhkan pemimpin penjenayah dan penipu. 

"Sebagai pengganti seorang pemimpin yang lurus dan berpegang kepada undang-undang akan dipilih untuk mengganti pemimpin yang bersifat perosak.

"Jika parti tidak jatuhkan pemimpinnya yang perasuah dan penyamun, wakil-wakil rakyat boleh hentikan sokongan kepadanya. Dan dia akan jatuh. Mungkin parti juga akan jatuh. Dan PRU diadakan untuk memilih Kerajaan baru," jelas beliau lagi.
Next Post Previous Post