Polis tangkap polis edar dan proses ketum

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR— Polis menahan enam anggotanya dan merampas kira-kira 18 kilogram (kg) daun ketum dan 13.5 liter air ketum dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Jalan Puchong, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, empat anggota polis berusia 24 hingga 38 tahun ditahan Cawangan Risikan/Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira jam 2.15 pagi, 4 Januari.

“Turut dirampas peralatan proses daun ketum, lima uniform polis dan wang tunai RM1,200.

"Susulan tangkapan itu, keesokannya sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sekitar Jalan Klang Lama dan merampas air ketum kira-kira 10.5 liter," katanya dalam kenyataan hari ini.



Amihizam menambah, kesemua suspek direman mulai 4 hingga 6 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Aka Racun 1952.

“Empat anggota polis terbabit juga akan dikenakan tindakan tahan kerja.

“Polis turut menahan dua lagi anggota polis berusia 31 dan 51 tahun di kawasan IPD Brickfields untuk membantu siasatan pada Isnin,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenal pasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperoleh," ujarnya.

Ujarnya, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan rampasan dadah ini bolehlah menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan.
Next Post Previous Post