Muzium Brooke Dockyard bakal jadi stesen ART
KUCHING— Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard di Jalan Market di sini yang berusia 112 tahun bakal dijadikan stesen Transit Aliran Autonomi (ART).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek dalam fasa dua itu akan dibangunkan di bekas stor Jabatan Kerja Raya (JKR) memandangkan tapak itu bekas peninggalan laluan kereta api pertama di Kuching.
Katanya, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan bagi mengembalikan fungsinya yang suatu ketika dulu pernah menjadi stesen kereta api Kuching ketika itu.
“Terdapat bekas laluan kereta api, sebab itu kita mahu membangunkan stesen ART di sana. Kerajaan akan menambah beberapa juta untuk membiayai kos naik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Muzium Warisan Perindustrian Brooke Dockyard baru-baru ini.
Bila sebut Jalan Market pasti mengimbau kenangan wujudnya pengangkutan kereta api di Kuching ketika itu.
Di sinilah letaknya stesen besar kereta api Sarawak yang pertama pada 1915, menempatkan laluan dari Jalan Market sehingga Batu 10. Laluan ini pernah digunakan tiga lokomotif Kuching yang dinamakan Jean, Bulan dan Bintang dan beroperasi mulai 1915 sehingga 1947.
Sementara itu fasa satu meliputi kerja-kerja pengubahsuaian Brooke Dockyard sebagai muzium maritim sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini dengan kemajuan ketika ini sebanyak 86 peratus.
“Projek fasa satu meliputi ini bernilai RM47 juta termasuk RM5 juta untuk memperbaiki beberapa kapal yang bakal dipamerkan kelak.
“Selain itu peninggalan sejarah seperti bebaling kapal, kren dan jentera lama berkaitan industri perkapalan dan maritim akan dipelihara sebagai bahan pameran,” katanya.
Dengan terlaksananya projek itu, impian menjadikan Brooke Dockyard sebagai muzium menjadi kenyataan.
Abang Johari berkata, projek menjadikan Brooke Dockyard sebagai muzium itu dicadangkan ketika beliau masih menjadi Menteri Pelancongan.
Untuk rekod, Brooke Dockyard merupakan peninggalan sejarah era pentadbiran Rajah Brooke bermula 1841-1941 dan 1945-1946.
Ia siap dibina pada 1912 oleh Rajah Charles Brooke untuk membuat serta membaiki kapal di Sarawak selain menjadi pusat sehenti kapal-kapal di Sungai Sarawak.
Brooke Dockyard menjadi titik permulaan penting sektor perindustrian dan pembinaan khususnya bagi JKR ketika itu.
Ia mendapat jolokan ‘sumber kegembiraan’ bagi penduduk tempatan yang mencari sumber pendapatan bekerja di limbungan itu.
Hari ini, Brooke Dockyard menjadi warisan sejarah yang melambangkan identiti dan keunikan Sarawak.