Lesen motosikal percuma untuk pelajar B40 di Miri
MIRI— Kementerian Pengangkutan Sarawak melaksanakan program Bantuan Lesen Memandu (BLM) bagi membantu pelajar dari keluarga B40 mendapatkan lesen Kelas B2
Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program perintis selama 6 bulan ini disasarkan khas kepada pelajar-pelajar 16 tahun ke atas yang menggunakan motosikal ke sekolah tanpa berlesen di bahagian Miri khususnya di kawasan konstituensi Senadin.
“Saya berharap masalah pelajar tanpa lesen, ‘Mat Rempit’ dan tidak fasih dengan undang-undang jalan raya dapat diselesaikan,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program BLM MyLesen Kelas B2 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri pada Khamis.
Penduduk di bahagian Miri khasnya dari kawasan konstituensi Senadin yang berkelayakan dipelawa menyertai program ini dan menghantar permohonan sebelum 31 Januari ini.
Dato Sri Lee merakam gambar bersama pegawai JPJ Cawangan Miri beserta tetamu jemputan yang lain |
Selain itu katanya, program ini juga bagi membolehkan orang awam, khususnya golongan B40 mendapatkan Lesen Memandu Kelas B2 (Motosikal Bawah 250cc) pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran.
Hal ini katanya meningkatkan daya upaya sosioekonomi golongan B40 dan luar bandar dan memberi kesedaran kepada masyarakat agar lebih mengutamakan keselamatan jalan raya.
Syarat permohonan mengikuti program BLM itu adalah pemohon mesti warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas, sihat tubuh dan mental, belum memiliki sebarang lesen memandu dan penerima bantuan seperti eKasih, zakat, Baitulmal dan golongan B40.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili, Ketua Cawangan JPJ Miri Fifi Suhesty, Timbalan Residen Miri Hasmuni Juan Ubit dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Miri Sektor Pembangunan Murid Then Fen Nee.
Gambar ihsan UKAS