Lelaki penggal kepala rakan untuk menang loteri
PUTRAJAYA—Mahkamah Persekutuan meringankan hukuman mati kepada 35 tahun penjara terhadap lelaki yang memenggal kepala rakan bagi mendapatkan tengkorak lelaki itu sebagai bahan ritual untuk menang loteri.
Sebelum ini tertuduh A. Francis, bekas pekerja ladang sawit memohon semakan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan).
Memetik Berita Harian, keputusan membenarkan permohonan semakan itu dibuat tiga panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Dua lagi anggota panel hakim itu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Nordin Hassan.
Tengku Maimun mengarahkan lelaki berusia 52 tahun itu menjalani hukuman penjara itu dari 26 Ogos 1994, tarikh dia ditangkap. Francis sudah berada di dalam penjara selama 30 tahun.
Rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing ditolak pada 18 September 2002 dan 21 Mac 2005.
Francis didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 21 Oktober 1996 kerana membunuh warga Bangladesh Ali Ahammed Mohammed Ullah di ladang kelapa sawit Kim Swee Leong, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan-Mentakab, Daerah Temerloh, Pahang antara jam 9 hingga 11.30 malam, 19 Ogos, 1994.
Menurut fakta kes, Francis melakukan kesalahan itu atas nasihat seorang bomoh sebagai satu daripada ritual yang diperlukan.
Dia menggunakan batang rotan untuk memukul kepala Ali Ahammed sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum memenggal kepalanya. Francis kemudian menanam kepada Ali Ahammed di ladang kelapa sawit itu.
Terdahulu, Peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Francis memohon mahkamah supaya meringankan hukuman mati Francis kepada pemenjaraan sepanjang hayat kerana kes itu bukanlah satu kes yang luar biasa memandangkan pembunuhan itu bukannya suatu tindakan keganasan dan hanya melibatkan seorang mangsa.
Francis merupakan seorang daripada 17 banduan berusia antara 45 hingga 63 tahun yang hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat diringankan kepada hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun.