Lelaki ditangkap bunuh isteri di PPR Batu Gong, Siburan
KUCHING-- Seorang lelaki ditangkap disyaki membunuh isterinya dalam kejadian di PPR Batu Gong, Siburan malam semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superinten Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 42 tahun ditangkap kerana disyaki membunuh isterinya, 43, di sebuah rumah di PPR Batu Gong, Siburan.
"Punca kejadian sebenar adalah disebabkan mangsa telah menghalau dan menuntut cerai daripada suspek kerana suspek enggan bekerja sejak setahun lepas.
"Suspek juga sering meminta wang tetapi tidak membantunya berniaga dan suspek hanya tidur dan makan sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut kes itu, Abang Zainal berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan bahawa seorang perempuan telah meninggal dunia di rumah tersebut.
Jelasnya, mangsa yang merupakan peniaga kuih-muih sebelum ini pernah membuat laporan polis berkaitan kes keganasan rumahtangga.
Tambahnya, hasil siasatan mangsa telah berkahwin lebih kurang 3 tahun dengan suspek dan belum mempunyai cahaya mata dalam perkahwinan ini.
"Perkahwinan mangsa dan suspek masing-masing adalah perkahwinan kali kedua yang mana mangsa mempunyai lima cahaya mata dengan bekas suami manakala suspek mempunyai dua cahaya mata dengan bekas isteri.
"Sebelum ini mangsa dan suspek tinggal bersama tetapi suspek telah dihalau oleh mangsa pada 8 Januari 2024," katanya.
Menurut Abang Zainal lagi, dalam kejadian dipukul oleh suspek bertarikh 22 Januari 2023, mangsa baru sahaja balik dari rumah jiran kerana tidur di rumah tersebut memandangkan dia takut tidur seorang diri di rumah dan dikhuatiri suspek akan balik ke rumah.
Katanya, semasa dalam perjalanan balik ke rumah, suspek telah menghampiri mangsa dan memberitahu mahu mengambil pakaiannya yang masih berada di rumah sewa.
Jelasnya, setelah mangsa memberi pakaian yang diminta, suspek menyatakan bahawa dia hendak berbincang dengan mangsa dan kemudiannya bertindak menolak mangsa di kerusi ruang tamu dan terus menampar kedua-dua pipinya dengan menggunakan tangan beberapa kali.
"Semasa ditampar, mangsa ada melawan menyebabkan suspek telah mencekik leher isterinya itu dengan menggunakan sebelah tangan dan menyuruh mangsa diam.
"Akibat daripada itu mangsa mengalami kesakitan serta lebam pada kedua-dua pipi, sakit pada telinga sebelah kiri dan lebam pada leher sebelah kiri," ujarnya.
Beliau memberitahu, suspek kemudiannya mengambil bajunya dan kesempatan itu digunakan oleh mangsa untuk menghubungi jirannya menyebabkan suspek terus melarikan diri.
Kata beliau, berdasarkan saksi utama, menyatakan bahawa mangsa telah dijemput oleh anaknya dari Kampung Panchor pada jam 7 malam dan ketika sampai di rumah, kedua-dua mereka berbual di ruang tamu.
"Pada jam lebih kurang 8 malam, mangsa mengadu sakit di bahagian telinga dan memanggil kakaknya itu di sebelahnya. Tiba-tiba tangan mangsa mengejang dan kemudian menjadi lemah lalu terbaring dipelukannya.
"Kematian disahkan pada jam 9.48 malam Pembantu Perubatan yang telah hadir di lokasi kejadian," katanya.
Berikutan itu, tegasnya suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, sebelum ini suspek juga pernah ditangkap untuk kes yang disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan/ 18A AKRT.
Suspek akan direman di Mahkamah Kuching hari ini untuk membantu siasatan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat," ujarnya.