Jambatan Marudi dijangka siap lebih awal, Penguang
Jambatan Marudi merentangi Sungai Baram mungkin dibuka kepada pengguna September ini. Gambar ihsan James Wong |
MARUDI— Projek Jambatan Marudi merentangi Sungai Baram dijangka dapat disiapkan lebih awal dari jadual dan mungkin dibuka kepada pengguna pada September ini.
Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Awam Datu Dr Penguang Manggil, berkata projek jambatan sepanjang 650 meter dan bernilai RM116.5 juta itu pada asalnya dijangka siap pada Oktober ini namun kemajuan pembinaannya setakat ini telah mencecah lebih 63 peratus iaitu 10 peratus mendahului jadual.
“Berdasarkan perkembangan ini, kita menjangkakan ia siap lebih awal namun ia bergantung kepada beberapa faktor. Kita harap selepas ini tiada halangan.
“Namun kita jamin jambatan ini tetap dibuka kepada pengguna pada Oktober,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Jambatan Marudi merentangi Sungai Baram mungkin dibuka kepada pengguna September ini. Gambar ihsan James Wong |
Untuk rekod, pembinaan Jambatan Marudi dua lorong sehala ini mulai dilaksanakan pada 25 Januari 2019 dan dijadualkan siap pada 24 Januari 2022.
Dengan siapnya jambatan itu, ia memendekkan masa perjalanan ke pekan Marudi tanpa perlu menggunakan perkhidmatan feri.
Projek pembinaan Jambatan Marudi telah mendapat perhatian umum apabila gagal disiapkan mengikut jadual hingga menyebabkan kontraktornya ditamatkan perkhidmatan.