Edar dadah, lelaki ditahan dengan nilai rampasan lebih RM43,000
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di di kawasan tepi jalan Tudan, sekitar 5.45 petang pada 9 Januari lalu.
“Semasa pemeriksaan fizikal dijalankan, polis menjumpai dan merampas barang disyaki dadah jenis syabu seberat 876.27 gram.
“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM28,859,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson menambah, turut disita wang tunai dan seutas rantai emas dianggarkan bernilai RM14,261.40.
Menurutnya, suspek dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Polis juga ingin menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.