Bas tersangkut, pemandu 'shortcut' pusingan U
SIBU-- Tidak berakal dan mementingkan diri sendiri.
Seorang pemandu bas di sini sanggup 'merempuh' pembahagi jalan untuk membuat pusingan 'U' secara pintas di Jalan Deshon di sini pagi tadi.
Berdasarkan hantaran Info Sibu di Facebook, tindakan pemandu itu telah menyebabkan kesesakan teruk.
"Akibat pentingkan diri sendiri, sebuah bas tersangkut ketika membuat 'shortcut' U-turn di Jalan Deshon pagi ini dan mengakibatkan jalan tersebut sesak teruk.
"Beberapa kenderaan berpatah balik dan buat U-turn," katanya dalam hantaran itu.
Beberapa gambar dan video turut tular di media sosial yang mengundang kemarahan warganet terhadap pemandu tersebut.
"Kurang sabar gelojoh mahu cepat punca dia bertindak tak bijak, lepas itu menyusahkan pengguna jalan raya," kata seorang pembaca.
Orang awam berharap pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan keras terhadap pemandu tersebut.