4 polis ditahan peras ugut tauke air ketum
KUALA LUMPUR— Polis menahan empat anggotanya kerana disyaki memeras ugut seorang peniaga kedai makanan yang menjual air ketum di Taman Desa Gombak di sini, November lalu.
Sumber memaklumkan, mangsa mendakwa didatangi empat lelaki tempatan mengaku sebagai pegawai kanan polis Bukit Aman sebelum memeriksa kediamannya.
“Pemeriksaan telah menemui sebanyak 20 bungkusan minuman dipercayai air ketum.
‘Anggota polis berkenaan meminta bayaran RM10,000 sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan menjual air ketum,” kata sumber itu dipetik Harian Metro.
Mereka mengugut membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sebelum mangsa berunding kerana hanya mampu membayar RM5,000 sahaja.
Selepas menerima wang berkenaan, anggota polis terbabit turut berbincang dengan mangsa untuk terus berniaga air ketum dengan jaminannya.
Selepas membayar RM1,500 secara ansuran selama dua bulan, mangsa tampil membuat laporan polis pada 18 Januari yang lalu kerana tidak tahan diperas ugut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan penahanan keempat-empat individu terbabit.
Kesemua suspek ditahan reman bermula Sabtu sehingga hari ini.
"Kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut," katanya.