Teruja dengar pelaburan tawar untung 350%, wanita di Sibu rugi RM240,000
KUCHING-- Seorang kerani wanita di Sibu rugi RM240,000 selepas terpedaya dengan tawaran keuntungan sehingga 350 peratus pelaburan dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, kes melibatkan mangsa berusia 50-an itu dilaporkan pada 28 Disember lalu.
"Mangsa bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat di Sibu dan menurutnya, dia telah terima pesanan melalui Whatsapp daripada suspek yang dikenali sebagai ‘Chow Yin Mei’ yang mempromosikan pelaburan saham melalui aplikasi ‘FTSE Vip’ sebelum suspek meminta mangsa memuat turun aplikasi tersebut melalui telefon pada penghujung bulan November 2023.
"Suspek kemudian memberi penerangan tentang pakej pelaburan yang ditawarkan serta keuntungan 200% hingga 350% mengikut pakej pelaburan kepada mangsa sehingga menyebabkan mangsa tertarik membuat pelaburan melalui aplikasi ‘FTSE Vip'," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mancha lagi, mangsa kemudian telah membuat pelaburan dengan melakukan 15 transaksi pemindahan wang secara atas talian keseluruhan berjumlah lebih kurang RM240,000.00 ke tiga akaun bank atas nama syarikat berlainan pada penghujung November 2023 hingga penghujung Disember 2023.
"Mangsa hanya menyedari ditipu setelah tidak memperolehi apa-apa keuntungan daripada pelaburan seperti yang dijanjikan suspek sebelum tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya," katanya.
Berikutan itu, tambahnya, mangsa mengalami kerugian berjumlah lebih kurang RM240,000.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga
dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar hanya membuat pelaburan di platform yang betul serta berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sahaja.
"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat kewangan
dari ejen yang berdaftar sahaja tentang sesuatu pelaburan.
"Jangan sesekali menekan pautan atau memuat turun aplikasi melalui
android package kit (apk) yang tidak diketahui kesahihannya," ujarnya.