Tak sedar diintai polis, 23 lelaki sabung ayam diberkas
TATAU— Seramai 23 kaki judi sabung ayam yang menjadikan kawasan kebun sawit di Jalan tatau-Selitut sebagai tempat menyabung ayam bertempiaran lari sebaik lokasi itu diserbu polis jam 3.50 petang semalam.
Namun kecekapan pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau, mereka tidak dapat lari jauh dan akhirnya diberkas semua.
Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis berkata, polis mengambil masa 20 minit untuk mengintai dan memerhatikan gerak-geri mereka sebelum membuat serbuan.
“Terkejut dengan kemunculan pihak polis, kesemua lelaki bertempiaran lari masuk ke dalam hutan.
“Kesemua suspek yang merupakan warga tempatan berumur dalam lingkungan 30 hingga 72 tahun, dipercayai terlibat dengan aktiviti judi sabung ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil serbuan polis merampas sebelas ekor ayam sabung, dua unit taji ayam sabung, seunit papan judi sabung ayam, dua unit kanvas, sebatang pen marker hitam, seunit alat penimbang berat, enam buah kerusi, satu tong gas hijau, 2dua tong air dan wang tunai RM516.
Tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 73(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 dan 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan kegiatan perjudian pertaruhan sabung ayam terutama musim perayaan Krismas yang menjelang tiba,” katanya.