Rubiah harap operasi ART di Samarahan dapat dipercepatkan
KOTA SAMARAHAN-- Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berharap pengoperasian perkhidmatan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dapat dipercepatkan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, ini bagi membantu merealisasikan impian warga Samarahan untuk mempunyai sistem pengangkutan awam yang berteknologi tinggi.
"Semalam saya berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki ART di laluan sepanjang jalan Samarahan-Kuching Expressway di Le Promenade (pickup-point), Kota Samarahan.
"Buat masa ini, saya berpuas hati dengan sistem ART yang sedang menjalani ujian pembuktian konsep (POC) yang bermula sejak ia tiba dari China September lepas dan sudah dinaiki lebih 2,500 penumpang.
"Hasil penelitian semalam, saya berharap kemudahan ini dipercepatkan beroperasi, pihak yang terlibat akan memastikan semuanya berjalan lancar khususnya dari segi pengurusan, pentadbiran dan pengurusan projek," katanya dalam hantara Facebooknya.
Pada masa sama, Rubiah kagum dengan penggunaan sistem Keutamaan Isyarat Transit (TSP) yang memberikan keutamaan lalu lintas kepada tren ART di persimpangan lampu isyarat.
"Saya dimaklumkan juga bahawa setiap laluan untuk ART ini akan turut dilengkapi sistem TSP yang memberikan keutamaan lalu lintas kepada tren ART di persimpangan lampu isyarat.
"Selaku Ahli Parlimen Kota Samarahan, saya merakamkan ribuan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana membantu merealisasikan impian warga Samarahan untuk mempunyai sistem pengangkutan awam yang berteknologi tinggi," ujarnya lagi.