Remaja 15 tahun larikan kenderaan bapa saudara sempat beli minyak 2 liter di Lubok Antu

KUCHING-- Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang didakwa dilarikan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dikesan membeli minyak 2 liter di kedai kampung di Lubok Antu dekat sini.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Facebook menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai kampung berkenaan.

Dalam hantaran itu, pengguna terbabit memberitahu remaja tersebut yang mendakwa dirinya tersesat jalan di Lubok Antu selepas pulang dari Saratok.

Katanya lagi, remaja terbabit juga mengatakan dirinya berasal dari Kuching.

Malah, dalam rakaman CCTV itu juga, kenderaan SUV tersebut dilihat melanggar sebatang pokok kelapa ketika mengundur.



Terdahulu, tular satu gambar SUV putih dan laporan polis di Facebook mengatakan kenderaan tersebut telah dilarikan seorang remaja yang diparkir di sebuah taman perumahan di Batu Gong, Jalan Kuching- Serian.

Difahamkan kenderaan tersebut milik bapa saudara remaja berkenaan.

Berdasarkan laporan yang tular itu, bapa saudara remaja tersebut telah membuat laporan polis yang mendakwa kenderaan itu dipandu kira-kira jam 4.50 pagi dari rumahnya. 

Pemilik juga mendakwa anak saudaranya itu tidak meminta sebarang kebenaran daripadanya atau isterinya untuk menggunakan atau memandu kenderaan itu.

Kenderaan tersebut juga didaftarkan atas nama isterinya dan berharap tiada kejadian tidak diingini berlaku akibat kenakalan anak saudaranya itu. 
Next Post Previous Post