PSB sertai PDP? Tiong masih berteka-teki
KUCHING—Ketika ramai pemerhati politik Sarawak menunggu status terkini susulan pengumuman PSB bahawa mereka sudah mendapat ‘lampu hijau’ untuk menyertai PDP, pemimpin PDP pula enggan mengulas dan terus berkias-kias dalam memberikan kenyataan.
"Mahu kahwin perlahan, tidaklah boleh satu hari,”
“Saya baharu pulang China. We will sort it out. Jangan bimbang, bila tiba masanya saya akan umumkan,” kata Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing hari ini.
Tiong berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin kanan PSB yang menyatakan mereka sudah menerima ‘lampu hijau’ daripada pihak atasan untuk menyertai PDP
Kelmarin, Timbalan Presiden l PSB Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Presiden parti berkenaan Datuk Seri Wong Soon Koh dan mereka akan merujuk kepada ROS berkaitan prosedur pembubaran itu.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut siapa yang memberi lampu hijau itu, Rayong berkata mereka dijangka menyertai PDP selepas pembubaran PSB yang dirancang dilakukan sebelum perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili itu berkata, parti akan berjumpa dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang anti-lompat parti.
“Seterusnya, kita akan adakan EGM (Mesyuarat Agung Khas) untuk membubarkan PSB (sebelum menyertai PDP). PDP juga akan mengadakan EGM untuk menerima PSB secara rasmi,” katanya dilapor media massa.
Ketika persoalan berlegar tentang siapakah pihak atasan yang memberi lampu hijau, perhatian rakyat pula tertumpu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS). Namun perkara itu disanggah oleh Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“GPS belum memberikan 'lampu hijau' atau kebenaran kepada ahli Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Progresif Demokratik (PDP), sebagai antara komponen gabungan parti.
"Lampu hijau daripada ROS (Pendaftar Pertubuhan) kah (bagi pembubaran PSB dan ahlinya menyertai PDP)... Saya tidak tahu. Tidak (ada persetujuan rasmi lagi dalam GPS), kami belum ada mesyuarat dalam GPS (untuk membincangkan isu itu)," katanya kepada media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Krismas anjuran Biskop Anglikan Kuching Datuk Danald Jute di sini semalam.
Semasa Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak pada 2021, PSB bertanding sebagai pembangkang dan hanya memenangi empat daripada 82 kerusi yang dipertanding.
Selain PBB dan PDP, GPS yang memenangi pilihan raya itu dengan meraih 76 kerusi, turut dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) serta Parti Rakyat Sarawak (PRS).