PM Bukan Melayu: Kit Siang jawab 27 soalan polis
KUALA LUMPUR— Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang diambil keterangan oleh polis dengan menjawab 27 soalan berhubung
kenyataan kontroversinya untuk melihat bukan Melayu menjadi perdana menteri.
Peguam, Khairil Khalid, berkata keterangan Kit Siang diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, prosiding hari ini dibuat mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP).
“Ia prosedur biasa susulan ada laporan individu berkenaan hantaran di Facebook dan blog Kit Siang mengenai kenyataan itu.
“Siasatan belum dipastikan mengikut akta apa, jika ada kesalahan baharulah polis tentukan tindakan lanjut,” katanya dipetik Berita Harian.
Selain Khairil, Kit Siang turut ditemani seorang lagi peguam, Athari Bahardin sepanjang proses rekod keterangan yang berlangsung kira-kira satu jam.
Kit Kiang ditemani dua anaknya, Guan Eng, Ahli Parlimen DAP Bagan yang juga bekas Menteri Kewangan merangkap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Hui Ying, Ahli Parlimen DAP Tanjong yang juga Timbalan Menteri Kewangan, tiba di Balai Polis Sea Park pada jam 9.34 pagi.
Bekas Pengerusi DAP itu mencetuskan kontroversi dalam kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyatakan 'tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri'.
Kenyataan itu dibuat berkaitan 'Impian Malaysia' oleh Kit Siang itu semasa beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.
Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan 'Impian Malaysia'.
Impian berkenaan, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya, bukannya membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.
Menjelaskan kontroversi itu kemudian, Kit Siang berkata, ucapannya ketika itu sekadar menjelaskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, mana-mana individu layak menjadi perdana menteri tanpa mengira kaum.
"Walaupun bukan Melayu layak menjadi perdana menteri, saya katakan yang ia tak mungkin berlaku dalam tempoh 100 tahun. Namun, saya berharap ia tidak mengambil masa sehingga 230 tahun seperti Barrack Obama untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat," kata veteran DAP itu.