Penduduk Baram tagih janji selenggara jalan balak
MIRI— Perjalanan pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan sepatutnya pengalaman yang menggembirakan, namun bagi penduduk yang tinggal jauh di Ulu Baram ia umpama ‘menempah maut’.
Saban tahun, ribuan penduduk terpaksa berdepan bahaya kerana jalan balak yang berlumpur dan licin. Banyak kenderaan pacuan empat roda terperangkap dalam lumpur dan selut.
Kerosakan jalan yang menghubungkan ratusan kampung ini tidak pernah selesai dan berlaku setiap kali hujan lebat dan musim tengkujuh.
Aktivis sosial Baram, Willie Kajan berkata kebanyakan jalan yang terjejas melibatkan laluan antara Ulu Baram dan Long Lellang, Baram dan Tanah Tinggi Bario dan Ulu Baram ke daerah kecil Tutoh.
“Hujan lebat dan banjir kilat sejak minggu lalu menyebabkan jalan balak itu berlumpur dan tidak dapat dilalui.
“Keadaan sangat teruk, ramai pengguna jalan balak ini mengalami mimpi ngeri selepas kenderaan mereka tersangkut dalam lumpur sedalam satu meter.
“Namun kami tiada pilihan memandangkan ia satu-satunya jalan menghubungkan kampung-kampung di Ulu Baram,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Sebelum ini, penduduk amat berharap jalan balak tersebut diselenggara dan dinaik taraf untuk memudahkan mereka pulang ke kampung halaman meraikan Hari Krismas bersama keluarga.
Ini kerana, penduduk di pedalaman sebelum ini sudah dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa jalan-jalan balak itu akan diselenggara dan dinaik taraf sebelum Krismas.
Pada September lalu, Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan lebih 500 kilometer (km) jalan balak di kawasan utara khususnya Miri, Limbang dan Belaga akan diselenggara dan dinaik taraf.
Beliau semasa menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, turut mengumumkan peruntukkan RM331 juta bagi kerja menaik taraf dan menyelenggara jalan balak di kawasan pedalaman di Sarawak.
Katanya, penyelenggaraan tersebut akan dilaksanakan segera dengan tempoh siap sebelum perayaan Krismas tahun ini.
Kurang daripada 48 jam sambutan Krismas, penduduk Baram ketika ini sedang menggadai nyawa mengharungi lumpur dan selut di tengah hutan belantara untuk sampai ke kampung halaman.
“Saya sangat marah kerana tahu ia mustahil (menyelenggara dan menaik taraf jalan balak sebelum Krismas).
Saya tidak mempersoalkan pengumuman ini dan mengalu-alukannya, namun alangkah baiknya jika beliau merujuk kepada wakil rakyat di kawasan ini sebelum membuat pengumuman,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.
Beliau berkata, di kawasan Baram sahaja terdapat lebih 1,000 km bekas jalan balak tidak termasuk jalan sedia ada yang menghubungkan ratusan kampung.
“Ini tidak termasuk jalan balak ke Mulu, Ba Kelalan dan Murum. Jadi bagaimana kerajaan persekutuan mengumumkan peruntukan ini dan berjanji penduduk pedalaman tidak perlu lagi melalui jalan-jalan ‘jahat’ ini sebelum Krismas?
“Saya nasihatkan mereka (Persekutuan) merujuk kepada saya (Telang Usan/Baram), Gerawat Gala (Mulu) dan Kennedy Chukpai Ugon (Murum) terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman. Kami yang lebih arif kawasan mana yang paling teruk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dennis dalam pada itu turut bersimpati dan sedih melihat rakyat terpaksa melalui keperitan ini setiap kali pulang ke kampung halaman.
“Saya sangat sedih rakyat melalui semua ini, saya pun melalui ini banyak kali. Saya tahu bagaimana kekecewaan itu.
“Rakyat susah terperangkap di tengah-tengah perjalanan dikelilingi hutan, ada anak, tanpa air dan makanan. Bukan kerajaan negeri tidak berusaha, namun realitinya ini yang terjadi,” katanya.
Gambar kredit Willie Kajan