Pelantikan Fadillah dalam kementerian baharu tepat: Abang Johari
KUCHING-- Pewujudan kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam bertepatan dengan usaha Sarawak beralih ke arah teknologi tenaga hijau.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malahan pelantikan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dalam portfolio baharu itu amat bertepatan.
"Terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan kementerian tenaga (Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam) ini kepada Fadillah.
"Dengan penekanan Sarawak kepada tenaga boleh diperbaharui adalah wajar bagi Fadillah untuk menyelaraskan semula dasar tenaga untuk meletakkan Malaysia sebagai hab hijau di rantau ini," katanya ketika ditemui pemberita.
Abang Johari berkata demikian bagi mengulas pengumuman barisan Kabinet Persekutuan baharu yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.
Barisan Kabinet Persekutuan itu menyaksikan kesemua lima Menteri dan enam Timbalan Menteri dari Sarawak, diketuai Fadillah dikekalkan dalam rombakan Kabinet yang diumumkan hari ini.
Fadillah sebelum ini memegang portfolio Menteri Peladangan dan Komoditi,bertukar portfolio ke Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, iaitu kementerian baharu yang dipecah dua daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Selain Fadillah, Datuk Ugak Kumbong turut beralih portfolio iaitu Timbalan Menteri Digital iaitu hasil pecahan Kementerian Komunikasi dan Digital.
Ugak yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Hal Ehwal Sabah Sarawak.
Sementara itu, barisan yang dikekalkan dengan jawatan menteri adalah Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Anak Dagang.
Manakala timbalan menteri yang dikekalkan adalah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukannisman Awang Sauni.