Pantang ajal sebelum maut, lelaki tersangkut pada kren selama 1 jam setengah berjaya diselamatkan dari terjatuh
KUCHING: Seorang lelaki yang tersangkut pada kren pada ketinggian 7 meter semasa menjalankan kerja di sebuah kilang perindustrian di Jalan Demak Laut berjaya diselamatkan bomba petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan anggota dari BBP Tabuan Jaya bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2 petang bagi menjalankan kerja menyelamat mangsa.
Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki tersangkut pada kepala kren atas bangunan berketinggian 7 meter.
"Mangsa yang berusia 58 tahun dan berada dalam keadaan sedar itu didapati masih berada di atas kepala kren di bahagian atas bangunan kilang tersebut," ujar beliau.
Adalah difahamkan bahawa mangsa turut mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan memerlukan bantuan untuk turun ke bawah.
Bagi menyelamatkan mangsa, pasukan bomba bertindak menggunakan tangga serta memasang sistem tali untuk membawa mangsa turun.
'Mangsa kemudiannya dipasangkan dengan body harness dan dibawa turun secara piggyback ke bawah sehingga selamat," ujarnya.
Seterusnya mangsa diberi rawatan awal oleh Unit EMRS dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Gambar PGO Sarawak