Lelaki maut tercampak, kereta dipandu terjatuh ke dalam cerun sedalam 6 meter
MIRI -- Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terbabas lalu terjatuh ke dalam cerun sedalam 6 meter berhampiran kawasan ladang Chart Quest di Jalan Pan-Borneo petang tadi.
Mangsa yang maut disahkan sebagai Machan Suut berusia 51 tahun.
Adik mangsa yang turut bersama mangsa dilaporkan mengalami kecederaan, namun berjaya keluar sendiri dari kereta dan telah dihantar ke pos kawalan polis bantuan berdekatan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah Rary Binjie, sepasukan anggotanya dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 5.57 petang.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri yang melibatkan sebuah kereta yang terjatuh ke dalam cerun pada jarak 50 kaki dari jalan utama," ujarnya.
Mangsa jelasnya ditemui dalam keadaan tertiarap 3 meter selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa dari kawasan cerun dengan menggunakan stretcher, 1 gulung webbing dan tali penyelamat untuk menarik stracher sehingga mangsa dapat dibawa naik ke jalan besar dalam masa satu jam setengah.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut," tambah beliau.
Gambar BBP Batu Niah