Jambatan Bintulu Jepak siap Oktober 2024
BINTULU— Dua projek penting di sini membabitkan pembinaan Jambatan Bintulu - Jepak dan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bintulu dijangka siap Oktober tahun depan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, kerja-kerja pembinaan Jambatan Bintulu - Jepak telah mencapai kemajuan sebanyak 66.7 peratus.
“Walaupun pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak mengalami satu peratus kelewatan namun pihak kontraktor berjanji memastikan ia siap pada tempoh suku pertama tahun depan.
“Komponen jambatan akan melibatkan lampu hiasan seragam dan lif menegak pada bahagian jambatan sebelah Bintulu. Ia juga bakal dilengkapi lif menegak bagi memudahkan orang ramai yang ingin menyaksikan keindahan panorama dari atas jambatan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Lawatan Kerja Ke Projek Pembinaan dan Penyiapan Jalan Pesisir Pantai Pakej 5 dan Jambatan Bintulu-Jepak di sini, pada Selasa.
Aidel menambah, manakala IAC yang bakal menempatkan semua jabatan kerajaan di Bintulu mencapai kemajuan sebanyak 59 peratus terdapat beberapa masalah teknikal yang dihadapi sebelum ini.
“Kerajaan dalam perancangan membina jalan berkembar dua lorong bagi menghubungkan IAC dengan Lapangan Terbang Bintulu sepanjang 40.2 kilometer.
“Jalan berkembar itu nanti akan memendekkan perjalanan dari Bintulu serta kawasan berdekatan yang lain,” katanya.