Fadillah terajui kementerian baharu, hal ehwal Sabah Sarawak tetap diutamakan
KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof diberi kepercayaan menerajui kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak.
Beliau berikrar akan melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab di kementerian baharu tersebut.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana
Menteri dan memberikan kepercayaan untuk saya menerajui kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak.
"Seperti juga sepanjang setahun bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan dua penggal di Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelumnya, saya berikrar akan melakukan sebaik mungkin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab di kementerian baharu ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Hal Ehwal Sabah Sarawak Tambah Fadillah, keutamaan akan diberikan kepada meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditempat sepatutnya, sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak
dan Sabah dengan Semenanjung.
Mengulas tentang rombakan Kabinet Persekutuan itu, beliau memberitahu, ia bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan tetapi lebih dilihat kepada ke arah memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Tegasnya, pelantikan muka baharu yang berwibawa, pengwujudan kementerian baharu, penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat.
"Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan tetapi lebih dilihat kepada ke arah memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
"Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri. Ini amat penting kerana untuk kita mengerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil.
"Saya juga percaya Perdana Menteri telah menilai dengan teliti, kesesuaian setiap Menteri dan portfolio yang diamanahkan berdasarkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing, selepas melakukan pemantauan rapi sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan," katanya.
Dalam pada itu, Fadillah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat dari pengurusan tertinggi, pegawai dan warga kerja KPK di atas kerjasama terbaik dan komitmen penuh yang diberikan sepanjang beliau menerajui KPK.
"Berikanlah kerjasama serupa kepada pengganti saya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas ini.
"Saya juga ingin mengajak semua barisan Kabinet yang baru diumumkan untuk terus fokus bekerja demi rakyat dan negara serta memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan dalam Kerajaan MADANI dalam mendepani tahun 2024 dan tahun-tahun seterusnya yang dijangka akan lebih mencabar.
"Tanpa mengira bangsa, agama dan merentasi fahaman politik, semoga kita dapat bersama-sama membina Malaysia Madani yang stabil, maju dan makmur berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara," ujarnya.