Bayi, kanak-kanak terselamat kemalangan di Serian

SERIAN— Seorang bayi dan kanak-kanak perempuan berusia setahun dan tiga tahun terselamat selepas pikap yang dinaiki bersama keluarga mereka terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal di Kampung Ensebang Jalan Sri Aman- Serian di sini, semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 3.58 petang itu membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan motosikal jenis Yamaha Y15.

“Sebelum kemalangan itu berlaku, pikap yang datang dari arah Sri Aman itu melanggar lopak air menyebabkan hilang kawalan lalu merempuh sebuah motosikal yang berteduh di perhentian bas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua penumpang termasuk pemandu seorang lelaki berusia 32 tahun dan penumpang wanita, 26, tidak tersepit dan selamat.

Mereka kemudian dihantar ke Hospital Serian menggunakan ambulans Balai Ringin manakala penunggang motosikal, seorang lelaki selamat dan tiada mengalami sebarang kecederaan. 

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bertindak membuat size-up dan memastikan keadaan sekeliling selamat.


Gambar ihsan PGO Sarawak
Next Post Previous Post