Agihan kuasa antara eksekutif dan Raja lebih selamat, Dr Mahathir

KUALA LUMPUR— Agihan kuasa antara eksekutif dan Raja lebih selamat berbanding kuasa mutlak, kata bekas perdana menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau dalam kenyataan menerusi platform X semalam berkata, kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar baru-baru ini yang mahu SPRM dan Petronas melapor secara langsung kepada baginda serta beberapa perancangan lain apabila menjadi Yang di-Pertuan Agong, tidak boleh diambil ringan.

Dr Mahathir berkata, walaupun kuasa tersebut tidak diperuntukkan di dalam Perlembagaan, keinginan yang disampaikan oleh Sultan Johor itu jika menjadi kenyataan akan menimbulkan beberapa persoalan penting berkait dengan peranan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.


“Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Negeri telah menggaris secara terperinci peranan, tanggungjawab serta bidang kuasa setiap Raja yang memerintah Negeri-Negeri serta juga Yang di-Pertuan Agong.

“Sebelum kuasa Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong diperincikan di dalam Perlembagaan yang disediakan untuk Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, pihak Raja-Raja mudah dipaksa oleh British supaya menyerah negeri-negeri mereka kepada British dan mereka menjadi Raja yang tidak ada negeri. Untuk elak dari tekanan seperti ini konsep Raja Berperlembagaan disyor dan diterima,” katanya.

Hari ini tekanan perlu dibuat juga kepada Parlimen. Hanya jika Raja dan Parlimen bersetuju barulah sesuatu undang-undang atau dasar atau keputusan boleh dibuat. Agihan kuasa antara dua pihak lebih selamat dari kuasa mutlak, kata Dr Mahathir.

Berita Harian pada 10 Disember lalu melaporkan, Sultan Ibrahim mencadangkan supaya SPRM melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong, bukannya kepada Parlimen seperti sekarang.

"Jika (SPRM) datang kepada Agong, bermakna anda tidak berada di bawah pengaruh mana-mana pihak eksekutif. PETRONAS pun tidak sepatutnya berada di bawah Parlimen, lapor terus kepada saya," titah baginda.

Sultan Ibrahim turut mencadangkan supaya pelantikan kehakiman mesti diasingkan daripada badan eksekutif, bagi memastikan badan kehakiman negara benar-benar bebas.

Pada 27 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, pelantikan baginda selama lima tahun itu berkuat kuasa 31 Januari 2024.
Next Post Previous Post