Wee Ka Siong persoal polisi satu boarding pass, satu telefon

KUALA LUMPUR— Polisi Malaysia Airlines (MAS) satu ‘boarding pass’ untuk setiap telefon bimbit di Lapangan Terbang Senai (LTAS) tidak logik dan menimbulkan kesulitan kepada penumpang.

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong syarat itu menimbulkan kesulitan kepada penumpang kerana tidak semua memiliki telefon pintar.

Beliau menyuarakan perkara itu selepas seorang wanita tampil memohon bantuannya ketika beliau menunggu penerbangan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur di LTAS, semalam.

“Seorang penumpang wanita meminta pertolongan ketika saya sedang beratur di kaunter pengawal sebelum memasuki ruang pemeriksaan keselamatan. 

“Wanita ini kelihatan agak “cemas” menunjukkan skrin telefon bimbitnya kepada saya,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Menurut Ka Siong, akibat polisi itu wanita tersebut mengadu bapanya tidak dibenarkan memasuki ruang pemeriksaan keselamatan sedangkan daftar masuk tiket bagi pihak bapanya sudah dilakukan di telefon bimbitnya kerana bapanya tiada telefon bimbit.

Katanya, pihak berkuasa di kaunter tidak membenarkan bapanya masuk ke ruang pemeriksaan keselamatan seterusnya menaiki penerbangan kerana setiap telefon bimbit hanya dibenarkan satu ‘e-boarding pass’.

Beliau menambah, MAS dan LTAS harus meneliti semula polisi tersebut kerana ia berlainan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kenapa prosedur ‘boarding pass’ di LTAS tidak sama dengan KLIA, apakah logiknya?

“Kenapa AirAsia pula membenarkan dua e-boarding pass dalam satu telefon bimbit? soalnya.


Menurut Ka Siong, mujurlah selepas perkara itu diadukan kepada pegawai bertugas MAS, perkara itu selesai dan ayah wanita tersebut dibenarkan untuk berlepas bersama empat ahli keluarga yang lain.

“Kenapa selepas intervensi pegawai MAS, barulah penumpang yang terlibat dibenarkan menaiki pesawat? Apakah magiknya?

“Pengawal di kaunter memberitahu wanita tersebut bahawa hanya MAS tidak membenarkan perkongsian dua e-boarding pass dalam satu telefon bimbit yang sama. Syarikat Penerbangan AirAsia pun mengizinkan pelanggan mereka berbuat demikian dan dibenarkan berlepas,” kata Ka Siong.

Beliau menyarankan kepada pihak pengurusan MAS agar melakukan pembaikan SOP termasuk berbincang dengan pihak pengurusan LTS dan Polis Bantuan agar kejadian ini tidak berulang.
Next Post Previous Post